nuffang

pembolg himpunan terbaik ini memohon kerjasama pembaca blog supaya mengabaikan iklan yang tidak menutup aurat dan seakan dengan ye..

TAJAAN HIMPUNAN TERBAIK

Sabtu, 27 November 2010

onani


Dosa memang akan memerangkap kita. Tapi tiada siapa kata kita tidak boleh memecahkannya ~ picture by togatsuko of Deviant Art
Dosa memang akan memerangkap kita. Tapi tiada siapa kata kita tidak boleh memecahkannya ~ picture by togatsuko of Deviant Art

Positifnya orang yang mengadu

Saya suka orang-orang yang mengadu berkenaan terperangkapnya mereka di dalam hal onani ini. Hal ini kerana, setakat yang mengadu kepada saya, belum ada lagi yang bertanya begini:
 
“Apa hukum onani ya? Harus tak? Boleh tak?”
 
Tetapi mereka terus bertanya:
 
“Macam mana masalah saya ni? Macam mana saya boleh nak tinggalkan benda keji ni? Saya rasa risau sangat dengan dosa ni”
 
MasyaAllah. Allahuakbar. Bukan meminta untuk diringan-ringankan agar dibenarkan melakukan dosa. Tetapi minta untuk ditunjuk jalan menanggalkan dosa terus. Inilah dia antara ciri orang yang beriman. Bila berdosa, rasa dosanya seakan gunung yang menghempap. Hati rasa resah dan gelisah kerana takut kepada Allah SWT.
 
Wahai orang-orang yang begini, ketahuilah, di dalam hati kalian masih ada cahaya.
Tinggal resepinya dalam perjuangan menanggalkan dosa ini adalah – Jangan Putus Asa.

Dosa itu menjauhkan

Perlulah difahami bahawa, hakikat dosa adalah berlawanan dengan Islam. Jika Islam itu di Selatan, maka dosa adalah di Utara. Jika Islam itu di atas, maka dosa itu di bawah. Maka setiap kali kita bergerak ke arah dosa, automatiknya kita bergerak menjauh daripada Islam.
 
Justeru, resepi kedua di dalam melepaskan diri dari cengkaman onani adalah bergerak ke arah Islam itu sendiri. Yakni melakukan amalan-amalan seperti membaca Al-Quran, membaca Al-Mathurat, mengisi masa dengan zikir, sentiasa ke masjid, menjaga kebersihan solat dan berusaha melakukan kebaikan-kebaikan. Resipi ini kita boleh berikan namanya sebagai: MERAPATI ALLAH&MENJAGA HUBUNGAN DENGAN-NYA.
 
Kita perlu melawan hakikat dosa. Silap kebanyakan orang, dalam masalah ini adalah dia hanya nampak ‘meninggalkan dosa’. Tetapi dia tidak nampak bagaimana hendak ‘bertempur’ dengan dosa itu. Kalau dosa itu adalah raksasa yang sentiasa mengejar kita dan ingin membaham kita, maka amalan-amalan kebaikan yang mendekatkan diri kita dengan Allah SWT adalah senjata-senjata untuk kita menumbangkan raksasa itu.

Pengisian masa

“Demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian” Surah Al-‘asr ayat 1-2.
Allah SWT tidak saja-saja berfirman akan masa apabila menceritakan perihal kerugian manusia. Manusia banyak kerugiannya. Selain kerugian masa yang tak boleh dijual beli itu, penurunan iman juga adalah satu dosa. Apatah lagi, iman itu kita sengaja turunkan dengan berbuat dosa. Dan berbuat dosa itu juga satu pembaziran masa. Maka itu adalah kerugian yang berganda.
Rata-rata yang mengadu kepada saya akan masalah onani menyatakan bahawa mereka mempunyai masa kosong bersendiri. Ini mendorong mereka melakukan onani dan mereka seakan dirasuk, tak mampu mengawal diri. Seakan ada suara yang menolak-nolak mereka untuk melakukan maksiat itu.
Maka resepi ketiga dalam hal ini adalah dengan mengisi masa. Mengisi masa dengan apa? Dengan apa-apa sahaja yang boleh menjauhkan kita dari bersendirian. Perlu sentiasa mencari alasan untuk bersama rakan, keluar melakukan kerja, buat itu dan buat ini. Biar waktu sendirian semakin sedikit.
Sangat perlu diingatkan bahawa, resepi ketiga ini mestilah dilaksanakan dengan melakukan perkara-perkara yang bermanfaat, bukannya lagha. Semestinya perkara-perkara yang dilakukan boleh menjadi ibadah kepada Allah SWT. Agar setiap perkara itu mengisi jiwa dan memberikan kekuatan kepada hati.
Resepi ketiga ini, disokong pula dengan resepi kedua, ia akan menghasilkan satu sinergi – menghilangkan ketagihan – dan lama kelamaan perkara ini akan berjaya ditinggalkan.
 
Salah seorang yang bertanya, apabila bersoal jawab dengan saya, berbincang dengan saya akan masalah ini, dia berkata: “Saya ni, bila dah tak tahan sangat, saya tidur je terus. Tidur je boleh halang saya dari buat benda ni”
 
Dan bila ditanya, dia kata dia tetap tidak berjaya meninggalkan onani. Saya berkata:
“Sebab tidur tidak membangunkan jiwa. Nak lawan maksiat macam onani, enta perlukan jiwa yang kuat. Maka jiwa perlukan pengisian. Enta kena isi masa dengan perkara-perkara yang menguatkan jiwa. Bukan isi masa dengan perkara-perkara yang ‘kosong’ dan tidak memberikan enta apa-apa”
Isi masa dengan program-program mengecas keimanan seperti usrah, kem-kem ibadah dan program-program yang membina kekuatan jiwa. Program sendirian juga boleh dilakukan seperti bermusafir, duduk-duduk bersama sahabat soleh, mencari suasana solehah, dan sebagainya.
Jangan biarkan diri kosong.

Menyekat pandangan

Ini perkara paling basic. Menutup punca dosa. Allah SWT apabila membicarakan perihal kehormatan, menjaga kemaluan, Allah SWT memulakannya dengan arahan menundukkan pandangan.
“ Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan.” Surah An-Nuur ayat 30.
Nampak?
Kalau kita fikirkan kembali, macam mana boleh timbul ‘desire’ untuk beronani? Ia semestinya bermula dengan dosa lain seperti – melihat aurat orang lain. Ditambah pula kita tidak menyekat akal kita dari terus memikirkan itu dan ini yang semuanya menjurus kepada membangkitkan nafsu.
Saya melihat, antara amalan buruk yang menular pada remaja kita adalah(ini apa yang saya dapat apabila bergaul dengan remaja-remaja hari ini dalam kehidupan saya) mereka suka melebih-lebih dalam hal perempuan dan tidak segan silu mengekspressi luahan nafsu mereka. Saya beri contoh:
Bila ada perempuan lalu: (“Pergh, cantik siut dia tu”) atau (“Tengok-tengok, mantop seh dia pakai. Fuuh, cair aku”)
Bila menonton perempuan di dalam movie: (“Seksi beb”)
Dan banyak lagi. Berbanding menundukkan pandangan, mereka lebih senang ‘mengekspressi’ tanpa segan. Ini semakin hari semakin meruntuhkan intergriti jiwa, maka tidak hairanlah perkara seperti onani boleh berlaku dalam kehidupan.
Justeru, jika yang telah terperangkap di dalam maksiat onani ini, antara yang perlu dibina adalah menyekat pandangan. Yang sudah tu sudahlah, tetapi yang baru jangan ditambah.
Ini resepi keempat.

Bina target, jatuh sekali lagi itu perkara biasa

Saya sudah terlupa saya baca dari mana, tetapi saya masih ingat bahawa salah satu cara meninggalkan ketagihan adalah dengan membina target.
Sememangnya, ketagihan adalah sesuatu yang sukar ditanggal. Tetapi sukar tidak bermakna mustahil. Maka, kita perlu membina target. Ini adalah resepi yang kelima. Macam hendak meninggalkan rokok. Saya lihat ada pakcik ni, dia buat target. Kalau sebelum ni hari-hari, maka dia rokok seminggu sekali sahaja. Lepas dua-tiga bulan, dia usaha kurangkan rokok kepada sebulan sekali sahaja. Akhirnya perlahan-lahan dia merokok hanya dua bulan sekali. Lama kelamaan, dia berjaya meninggalkan rokok.
 
Onani juga saya kira begitu. Kita usaha bina target bila kita hendak tinggalkan onani. Kemudian kita lakukan planning bagaimana kita nak berurusan dengannya. Kalau dahulu hari-hari, maka kita ketatkan kepada seminggu sekali sahaja. Kemudian dua minggu sekali, seterusnya tiga minggu sekali, kemudian sebulan sekali dan lama kelamaan ia akan melemah dan kita akan berjaya meninggalkannya.
Nafsu ini perlu dijinakkan. Bukan dibiarkan lepas. Justeru perlu ada ‘sebatan’ untuk menenangkannya. Untuk menunjukkan siapa tuan dia. Kita adalah tuan kepada nafsu. Bukan nafsu tuan kepada kita. Justeru, ini adalah ‘sebatan’ kita kepada nafsu agar dia tunduk kepada kehendak Allah.
Dan saya ulang resipi pertama tadi – Jangan Putus Asa.
 
Lakukan semua resipi ini dengan bersungguh-sungguh. Jangan sesekali kecewa dan berhenti berputus asa. Kalau jatuh, bangun semula. Kalau jatuh lagi, bagun semula kembali. Jangan putus asa. Jatuh bangun itu sendiri satu ujian, selain dosa itu sendiri satu ujian. Ketahuilah, Allah SWT itu Maha Pengampun. Dan Allah SWT amat membenci manusia yang berputus asa.
“…dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat serta pertolongan Allah. Sesungguhnya tidak berputus asa dari rahmat dan pertolongan Allah itu melainkan kaum yang kafir” Surah Yusuf ayat 87.
Kalau nak mati, biar mati dalam keadaan berusaha.
Tetapi semestinya usaha dengan ikhlas. Bukannya separuh hati atau hangat-hangat tahi ayam. Sebagaimana usaha pembunuh 100 orang yang banyak kali saya ulang.

Resepi terakhir pula adalah: Doa

Jangan pernah putus doa. Jangan tidak pernah merintih. Jangan segan mengadu kepada Allah. Hinalah diri sendiri di hadapan Allah SWT. Kerdilkan diri. Sedar diri itu kotor dan terperangkap di dalam dosa. Maka mintalah dengan Allah SWT agar Allah sucikan diri kita dan keluarkan diri kita dari dosa.
Pernahkah anda meminta? Menyendiri, meminta kepada Allah dengan penuh kesungguhan. Mengadu kepada-Nya, menceritakan kelemahan diri dan menyatakan betapa kerdilnya diri.
Ketahuilah, yang berkuasa hendak mengeluarkan kita dari dosa, adalah Allah SWT.
Mintalah kepada-Nya.
Usaha yang diiringi doa, insyaAllah akan dimakbulkan. Perjalanan akan menjadi lebih mudah dan ringan.
Allah sudah berjanji. Dan Allah tidak pernah memungkiri janji-Nya.
Tinggal lambat, atau cepat sahaja.
Penutup: Dosa, sentiasa ada konsikuensi buruk
Tidak kira dosa apa sekalipun, semuanya membawa keburukan. Walau arahan Rasulullah SAW yang nampak remeh seperti – “Jangan kamu marah” – semua dosa itu mempunyai pengakhiran yang buruk.
Ada sebab yang besar kenapa Allah haramkan itu dan ini. Onani juga demikian. Ia melemahkan jiwa, menjauhkan kita daripada Allah. Walaupun kita bersendirian, Allah melihat kita. Tidakkah kita malu kepada-Nya? Jelas apabila kita melakukan onani dalam keadaan kita tahu perkara ini(Allah Maha Melihat) maka itu sendiri adalah kehinaan kepada diri kita. Di hadapan Raja Yang Maha Mulia, kita sanggup melakukan sedemikian rupa? Buruknya intergriti diri kita.
Sebab itu, dosa adalah sesuatu yang wajib diperangi. Tidak boleh ada ruang redha. Perlu sentiasa melihat dosa sebagai najis yang perlu dibersihkan. Perlu sentiasa melihat dosa sebagai perkara yang besar ibarat gunung yang menghempap.
 
Maka kita akan bermati-matian berusaha meninggalkannya. Kita rasa jijik mengulanginya. Kita rasa benci kepadanya. Kalau boleh digadai seluruh dunia untuk diampunkan dosa kita, maka kita akan melakukannya.
Justeru, Allah memberikan peluang.
“SesungguhNya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri.” Surah Al-Baqarah ayat 222.
Taubat. Dan taubat itu tidak cukup dengan bicara dan doa semata. Taubat perlukan usaha. Maka kita bermati-matian berusaha meninggalkan dosa walaupun susah, perit dan memberatkan.
Selamat berjaya mengamalkan resepi-resepi ini. Dan ini hakikatnya bukan untuk onani sahaja. Ini untuk semua dosa, yang mana pengamal dosa itu berhajat hendak meninggalkan dosanya. Kalau tak berhajat, saya tak rasa saya boleh membantu anda.
Mari sama-sama kita gapai kejayaan.
Tiadalah kejayaan itu, melainkan diselamatkan dari neraka, dan dimasukkan ke dalam syurga.
 
“Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya” Surah Ali-Imran ayat 185.
Bersama-sama kita berusaha.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Blog