nuffang

pembolg himpunan terbaik ini memohon kerjasama pembaca blog supaya mengabaikan iklan yang tidak menutup aurat dan seakan dengan ye..

TAJAAN HIMPUNAN TERBAIK

Selasa, 30 November 2010

ADAKAH perlu menyamak tayar terkena najis anjing

Persoalan Agama: Islam beri keringanan dalam perkara musykil elak kekeliruan

sumber dari berita harian 
2010/10/31

Soalan: 

ADAKAH kita perlu menyamak tayar motosikal yang terkena najis anjing. Bagaimana pula jika air tayar itu terpercik pada kaki, adakah kita juga harus menyamak kaki.

FAKRUL, Alor Setar.

Jawapan: 

Dalam surah al-Baqarah ayat 222 yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertaubat dan mengasihi orang-orang yang bersuci”. Begitu juga firman Allah SWT dalam surah al-Muddaththir ayat 4 iaitu: “Mengenai pakaianmu, hendaklah kamu bersihkan”. Dalam sebuah hadis, Nabi SAW bersabda yang bermaksud, bersuci itu sebahagian daripada iman. 

Islam sangat mengambil berat soal kebersihan daripada najis. Najis bererti kotoran yang setiap Muslim wajib menyucikan diri daripadanya dan membersihkan apa yang terkena. Antara najis perlu kita jauhi adalah anjing dan babi. Kedua-dua sisa haiwan itu adalah najis. Buku Indahnya Hidup Bersyariat menyebut pembahagian najis kepada tiga jenis. Pertama, najis mukhaffafah iaitu najis ringan, kedua, najis mutawasitah iaitu najis pertengahan dan ketiga, najis mughallazah iaitu najis berat. Najis anjing dan babi termasuk dalam kategori najis berat. 
Dalam buku ini diceritakan dengan terperinci cara menyucikan ketiga-tiga jenis najis itu berserta gambar. Eloklah saudara mendapatkannya agar bertambah ilmu dan keyakinan dalam beragama. 

Mengenai sisa anjing, sahabat Nabi SAW yang mulia bernama Abu Hurairah berkata: “Bahawa Nabi SAW bersabda, apabila anjing minum pada bejana (bekas) salah seorang antara kamu, hendaklah disucikan sebanyak tujuh kali. Hadis ini riwayat al-Bukhari dan Muslim.” 

Menurut hadis riwayat Ahmad yang menyebut: “Membersihkan bejana (bekas) salah seorang kamu bila dijilat oleh anjing ialah dengan membasuhnya sebanyak tujuh kali, dimulai tanah.” 

Mencuci dengan tanah maksudnya mencampurkan tanah ke dalam air hingga keruh. Jika ia menjilat dalam bekas berisi makanan kering, hendaklah dibuang mana yang terkena dan sekelilingnya. Begitu juga apabila hendak menyucikan sisa babi kerana kotorannya yang menjijikkan. Allah SWT berfirman dalam surah al-An’am ayat 145 yang bermaksud: “Katakanlah, tidakKu jumpai dalam wahyu yang disampaikan kepadaKu makanan yang diharamkan kecuali bangkai atau darah yang mengalir atau daging babi kerana itu adalah najis.” 

Imam al-Syafie menyebut dalam kitab beliau, al-Umm iaitu: “Maka kami mengatakan mengenai anjing sebagaimana yang diperintahkan Rasulullah SAW. Adalah babi, jikalau tidak lebih teruk daripada keadaan anjing, maka tidaklah lebih baik daripadanya. Maka kami katakan demikian adalah dengan jalan qias (analogi) kepada anjing itu.” 

Dalam kitab Fiqh al-Sunnah, Syeikh Sayid Sabiq menyebut: “Sekiranya seseorang ditimpa sesuatu yang jatuh dan ia tidak tahu apakah itu air atau kencing, tidaklah ia perlu bertanya. Jika ia bertanya juga, yang ditanya tidak wajib menjawab”. Sekiranya kaki atau tepi kain bahagian bawah terkena sesuatu yang basah yang tidak dapat dipastikan dan dikenali akannya tidaklah perlu ia menyiasat atau berusaha untuk mengenalnya berdasarkan sebuah riwayat bahawa Umar pada suatu hari melalui sebuah tempat, kebetulan ia ditimpa sesuatu yang jatuh dari sebuah bumbung. Seorang sahabat yang mengikuti Umar bertanya: 

“Wahai pemilik bumbung, apakah airmu suci atau najis? Umar pun berkata, wahai pemilik bumbung tidak usah dijawab pertanyaan tadi,” dan beliau terus berlalu. 

Justeru, apa yang saudara alami tak perlulah saudara siasat dan berusaha untuk mengenal hakikat yang terkena pada pakaian saudara. Ini menyusahkan saudara, memadailah saudara berlalu tanpa mengambil tahu perkara yang terkena pada tayar motosikal atau kasut. Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadis yang bermaksud: “Kerana kamu sekalian dibangkitkan untuk memberi keringanan dan bukan untuk menyebabkan kesukaran.” Wallahualam. 




Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Blog